Wednesday, December 29, 2010

Bekas pelajar bantah kemasukan pelajar perempuan


jom bantah, sila layari lama ini
http://www.facebook.com/update_security_info.php?wizard=1#!/pages/Falahians-Bantah/169307159772700?v=photos



KUALA LUMPUR, 29 Dis: Sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah (SMKAF), Kelantan, membantah kemasukan pelajar perempuan ke sekolah itu pada sesi persekolahan tahun hadapan.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily, pihak yang menamakan diri mereka sebagai Badan Bertindak Bekas Pelajar (Bantah) mendakwa, keputusan pengurusan pihak sekolah tersebut adalah tidak relevan, sekaligus memecah tradisi dan jati diri sekolah itu yang sebelum ini hanya untuk pelajar lelaki sahaja.

Falahiah adalah sebuah sekolah ditubuhkan sejak tahun 1939 dan dikenali sebagai SMKA bermula tahun 1978.

Ianya sebuah sekolah harian berasrama di Kelantan yang terkenal dengan tradisi kecemerlangannya sebagai sekolah khusus pelajar lelaki di negeri itu.

Difahamkan, keputusan sekolah memasukkan pelajar perempuan ke sekolah itu disebabkan prestasi akademik pelajar yang didakwa jatuh teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun bagi Bantah, mereka menolak alasan itu dan menganggap ianya satu alasan yang melucukan kerana cuba menjadikan pendidikan sebagai 'tikus putih' tanpa kajian terperinci.

"Pihak pengurusan juga seolah-olah lupa dan tidak melihat sejarah SMKA Falahiah. Di mana kecemerlangan sebelum ini tidak pernah pun dikaitkan dengan kehadiran pelajar perempuan.

"Pada kami, kejatuhan akademik adalah daripada berpunca daripada masalah pengurusan sekolah kali ini yang tidak efektif berbanding pengurusan sebelum ini dan disiplin pelajar di sekolah," kata mereka.

Dalam kenyataan yang turut disiar pada laman Facebook Falahians Bantah, mereka mendakwa keputusan itu juga dibuat secara tergesa-gesa tanpa mendapat pandangan dari semua pihak dan tanpa persediaan kajian yang terperinci.

Ianya termasuk mengenepikan perbincangan dengan pihak Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga tidak mendapat sokongan dari kebanyakan tenaga pengajar di sekolah itu.

"Pihak PIBG juga tidak diajak berunding terlebih dahulu sebelum keputusan ini dikeluarkan. Hanya sekadar makluman sahaja.

"Di saat Kementerian Pelajaran Malaysia menggalakkan kerjasama erat antara pihak sekolah dan PIBG, tampaknya pihak pengurusan sekolah hari ini dilihat terlalu bersikap individualistik sehingga mengabaikan konsep bekerja secara kolektif," kenyataan itu dipetik.

Difahamkan, kebanyakan guru tidak sependapat dalam hal ini namun hanya melahirkan protes secara diam.

Ini kerana pandangan mereka didakwa telah dikesampingkan dalam beberpa isu sebelum ini.

"Pandangan para guru amat penting untuk dihargai kerana golongan mereka lebih akrab dengan pelajar dan lebih memahami keadaan pelajar khususnya guru-guru yang telah lama berkhidmat di SMKA Falahiah," kata kenyataan itu lagi.

Menurut mereka, keputusan itu juga dibuat ketika ketiadaan beberapa individu utama pengurusan sekolah, dan kini apa yang menjadi tanda tanya adalah berhubung agenda sebenar individu di sebalik keputusan itu.

"Maklumat yang diperolehi juga menujukkan permintaan ini adalah datang dari pihak pengurusan sekolah bukannya Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan," kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, turut dipertikaikan adalah kesediaan infrastruktur sekolah untuk menerima kemasukan pelajar perempuan ke sekolah itu termasuk padang permainan, kemampuan masjid menampung pelajar dan guru dan dewan makan.

Namun apa yang lebih dibimbangi, adalah masalah sosial yang akan berlaku di kalangan pelajar apabila keputusan ini dilaksanakan kelak.

Harakahdaily turut difahamkan, beberapa kain rentang membantah keputusan sekolah itu juga telah dinaikkan di beberapa tempat tumpuan di sekitar sekolah namun ianya telah dibuang oleh pihak tertentu.

Bagaimanapun pihak Bantah mendakwa akan terus memperhebatkan bantahan mereka melalui kenyataan kepada media, internet, Facebook dan pengedaran risalah.

Pihak pentadbiran sekolah ketika dihubungi pula mendakwa segala tindakan dan fakta bantahan yang dikemukan kumpulan bekas pelajar itu hanya fitnah.

Bagaimanapun, mereka mengakui akan berlaku kemasukan sekurang-kurangnya 100 pelajar perempuan tingkatan satu dan empat pada sesi persekolahan Januari nanti.

sumber : Harakahdaily